Thursday, December 24, 2009

Daging Dendeng




Menu tengahari ni. Nasi beriani, daging dendeng, ayam kerutup dan acar timun.


Daging dendeng
Cuti umum sempena Hari natal. Malas pulak rasanya nak keluar kemana - mana. Tiba - tiba my hubby cakap masak daging dendeng la hari ni. Dah lama tak makan. che Tie pun fikir la, sedap juga makan dgn nasi beriani. Daging dendeng ni Che Tie dah belajar masaknya 5 tahun lps. Ada seorang kawan dari Perak mengajarnya. Sedap dan fuh.. hingga menjilat jari le kalau masak.
Bahan- bahan:
1/ 2 kg daging batang pinang - bersihkan dan rebus seketul besar ( jgn dipotong) sehingga empuk
Bahan kisar:
1/2 inci halia
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit belacan
10 tangkai cili kering
2 batang serai
bahan lain
kicap manis
3 batang serai - diketuk
gula
garam
sedikit asam jawa
Cara membuatnya:
1. Toskan daging yang telah direbus
2. Hiris nipis , kemudian diketuk menggunakan lesung.Biarkan dagingnya menjadi nipis
3. Perapkan daging tadi dgn kicap pekat. Pastikan kicap meresap rata pada semua daging.
4.Goreng daging seketika.
5. angkat dan toskan daging.
6. Tumis semua bahan kisar dan serai yang diketuk sehingga wangi
7.masukkan sedikir air, daging, asam jawa.Tambahkan lagi kicap sehingga warnanya kehitaman.
8. Tambahkan sedikit gula dan garam jika perlu( masin dan manis kicap sudah mencukupi)
9.Biarkan sehingga kuahnya agak kering.
10. angkat dan hidangkan dengan nasi putih, nasi beriani atau roti.

Tuesday, December 22, 2009

Apam Marmar






Semalam baru saja tengok - tengok resepi kat mamafami@fotopages. Terjumpa resepi apam marmar yang mamafami baru poskan. Che Tie try le buat utk minum petang.. hasilnya menakjubkan. Apam yang lembut dan gebu. senang pulak tu. Jadi Che tie pun nak kongsi resepi







Bahan - bahannya:
250gm tepung naik sendiri
200 ml santan
170 gm gula kastor
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil ovalette
sedikit garam
pewarna hijau, kuning dan pink
Cara membuatnya:
1. masukkan semua bahan dalam mangkuk kecuali pewarna
2. pukul dengan kelajuan rendah
3. tingkatkan kelajuan dan pukul hingga kembang dan ringan
4. Bahagikan kepada empat bahagian. tambah pewarna. setiap satu bahagian. Satu bahagian lagi biarkan pada warna asal.
5. Lensakan loyang dgn mentega.
6. tuangkan adunan secara selang -seli untuk setiap warna
7. kukus 45 minit
8. Biarkan sejuk sebelum di potong











Saturday, December 19, 2009

Chicken Foldover




Pagi ni rasa macam dah boring masak mee, beehon, kuetiaw untuk 'breakfast'.. belek - belek buku resepi terjumpa resepi yang dah lama Che Tie salin dari hanieliza@fotopages.


Setakat ini apa- apa resepi yang Che Tie buat daripada kak Hanieliza memang menjadi.. Terima kasih Kak Liza kerana sudi berkongsi resepi. Murah rezeki gitu.. Betul kan? sekarang dah terbitkan buku masakan. Husband Che Tie pulak kata "sedap mama", macam yang kat McDonald. Hmm.. Bagus le kalau gitu bang.






Bahan - bahannya:
Kulit Foldover
1 cawan tepung naik sendiri
1/2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 sudu teh garam
secawan air
-campurkan semua bahan sehingga sebati
- ambil sesenduk dan masukkan dalam kuali' non-stick'. Ratakan
- setelah masak, balik kan .
- angkat dan masukkan bahan - bahan inti salad.
Salad
Bahan - bahan:
1 keping dada ayam - celupkan dalam tepung KFC dan goreng

Timun, tomato, daun salad - dipotong
- Potong ayam yg telah digoreng.
- Ambil sekeping kulit foldover, letakkan ayam, timun, salad dan tomato. Letakkan mayonis dan sos cili. ( Sekiranya suka, boleh tambah lada hitam atau lada sulah )
- Gulung bentuk segitiga.
- Boleh dihidangkan untuk sarapan pagi atau mium petang.




Wednesday, December 16, 2009

Kuih Cara




Kuih cara.. Kuih tradisional orang melayu..Bahan - bahannya sangat mudah didapati..waktu balik kampung yang lalu Che Tie ada membeli acuan kuih cara.. Bila cuti sekolah ni, baru ada kelapangan untuk buat kuih ni. Sesuai untuk minum petang. anak - anak pun suka.




Bahan - bahannya:
2 1/4 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan
2 biji telur
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh esen pandan
sedikit pewarna hijau epal
Cara membuatnya:
1. campurkan semua bahan di atas dan tapis.
2. Griskan sedikit minyak pada acuan kuih cara.
3. tuangkan adunan ke dalam acuan
4. Masukkan 1/2 sudu teh gula pasir ( boleh kurangkan ikut kesukaan ) ke dalam adunan tadi
5. Tutupkan seketika
6.Angkat dan hidangkan.
Nota : Che Tie selalu griskan minyak pada acuan dengan menggunakan daun pandan yang diikat dan celup pada sedikit minyak.









Singgang Tulang/ Daging








Singgang adalah sejenis masakan yang agak terkenal di negeri - negeri sebelah Pantai Timur.. Ada singgang ikan . singgang daging atau tulang.. Ala - ala sup gitu.. Cuma kita banyak pakai lengkuas..




Hari ni che Tie masak singgang tulang yang ditambah sedikit daging .. itu memang 'favourite' suami.. Kalau tak habis hari ni esok pun dia minta panaskan lagi.. Lagipun isi yang melekat dekat tulang makin lembut.



.


Bahan - bahannya:


1 kg tulang lembu - direbus sehinnga empuk

3 inci lengkuas - diketuk

5 ulas bawang merah - dimayang

6 ulas bawang putih - dimayang

1 sudu besar ketumbar biji - di tumbuk

2 keping asam keping

Garam dan serbuk perasa


Sambal tumis ( kisar dan tumis hingga naik bau )

- 4 ulas bawang merah

- 8 tangkai cili kering


Cara membuatnya;

1. Rebus tulang hingga empuk ( boleh dimasukkan sehelai daun nangka sekiranya agak liat)

2. Masukkan semua bahan - bahan diatas ( bawang merah, bawang putih, lengkuas, asam keping, ketumbar biji, garam dan serbuk perasa

3. akhir sekali masukkan sambal tumis dan bolehlah ditutup apinya.

4. Boleh dihidang dengan nasi putih.


Nota : sambal tumis hanyalah pilihan . Kalau tidak dimasukkan pun tak apa. Cuma boleh di ganti dengan 5 tangkai cili kering yang dipotong dan boleh di masukkan terus ke dalam singgang..

Friday, December 11, 2009

Daging Lada Hitam




Hari Raya korban baru saja berlalu.. stok daging masih ada dalam peti ais. Teringat pulak dah lama tak masak Daging Lada Hitam.. Sebaik saja siap 'breakfast' Che tie terus keluarkan daging dari freezer . Nanti nak masak senang le kalau daging dah lembut..
Tak payah le cerita panjang hari ni. Kita terus saja ke resepi kita
Bahan - Bahannya :
500 gm daging lembu
3 sudu besar kicap pekat manis (boleh ditambah mengikut citarasa )
3 sudu besar kicap manis - untuk perapan daging
1 sudu kecil lada hitam- dikisar
Lada benggala- di belah 8
1 labu bawang besar - di potong bulat
2 biji cili merah - dihiris nipis
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air asam jawa
1 cawan air
Bahan Kisar
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 /2 inci halia
5 tangkai cili kering
1 batang serai
Cara membuatnya:
1. Daging dihiris nipis dan diperap dengan kicap manis selama 15 minit
2. Tumis bahan kisar hingga wangi.
3. Masukkan daging , tambah secawan air dan biarkan daging sehingga empuk.
4. masukkan kicap, air asam jawa. Biarkan hingga agak pekat.(sekiranya daging masih belum empuk bolehlah ditambah sedikit lagi air)
5. masukkan lada hitam yang telah dikisar. Biarkan seketika
6. Masukkan garam, gula, bawang besar, cili merah dan juga lada benggala. Biarkan seketika .
7. angkat dan hidangkan bersama nasi putih.

Monday, December 7, 2009

Strawberry Batik Swiss Roll



Rupanya senang betul nak buat swiss roll. dulu tak terfikir pun resepinya senang. Hari ni entah datang angin apa entah, tiba - tiba je teringin nak buat swiss roll. Semua bahan - bahan pula ada kat kabinet. Takde pulak yang kena keluar beli.



Bahan - bahannya :

6 biji telur gred A
4 oz gula kastor
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar ovalette
3 oz tepung gandum
1 sudu besar susu tepung
4 oz mentega - dicairkan
1 sudu teh perisa strawberi
sedikit pewarna merah

Cara - cara membuatnya:

1.Ayak tepung, susu tepung dan serbuk penaik.

2. Satukan semua bahan kecuali mentega cair. Pukul dengan kelajuan maximum selama 5 minit.

3. masukkan mentega cair sedikit demi sedikit

4. Ambil secawan adunan tadi dan masukkan kedalam bekas lain.Masukkan pewarna merah dan perisa strawberi. kacau rata dan masukkan ke dalam piping bag

5. Tuang adunan yang selebihnya ( warna asal) kedalam loyang (23cmx23cm). Ratakan permukaan

6. paipkan adunan merah keatas adunan yang telah diratakan

7. Lorekkan dengan menggunakan lidi.

8. Bakar dalam ketuhar selama 20 minit suhu 170'c

9. apabila telah masak, terbalikkan keatas kertas, gulung

10. Buka gulungan , sapukan jem strawberi, dan gulung semula.

11. sejukkan dan potong tepinya.

Nasi ayam






Nasi ayam.. memang menjadi 'favourite' anak -anak termasuk bapanya sekali.. Banyak resepi yang telah dicuba tetapi yang ini paling kena dgn selera kami sekeluarga.






bahan - bahannya:


1 ekor ayam - dipotong 4 (perap dgn 3 ulas bawang putih, 1 sudu kecil garam dan seinci halia yang dikisar)


- kukus ayam selama 30 minit dan perap lagi dengan kicap manis

- goreng dan potong ikut saiz yang dikehendaki


Nasi

1/2 kilogram beras basmathi

3 sudu besar stok ayam cair ( maggi)

2 ulas bawang putih- diketuk

1 inci halia - dihiris

2 helai daun pandan

air ikut sukatan beras (sama banyak dengan beras)


cara :

- Cuci beras hingga bersih

- masukkan air dan semua bahan

- masak nasi seperti biasa



Air cili (sos )


bahan - bahan:


2 ulas bawang putih

5 biji cili merah

1 biji cili hijau

gula dan garam

1 biji limau nipis - ambil airnya

i biji tomato

cara -cara ;


- kisar bawang putih , cili dan buah tomato

- masukkan dalam periuk

- masukkan gula dan garam, air limau nipis (lebih sedap sekiranya agak manis sedikit sos nya)

- masak hingga pekat



air kicap


- tinggalkan satu sudu besar sos diatas

- masukkan kicap manis 8 sudu besar

-tambahkan sedikit air

-masak sehingga mendidih

-hidangkan bersama nasi ayam



Sayur - sayuran

- daun salad

- timun

- buah tomato


Sup

- Rebus sedikit tulang ayam

-masukkan sup bunjut

-masukkan dua ulas bawang putih dan seinci halia

- masukkan garam, serbuk perasa

- taburkan dengan daun sup dan bawang goreng.

-hidangkan bersama nasi ayam

Puding roti karamel



Kalau nak buat pencuci mulut yang ringkas dan cepat untuk tetamu yang tidak di sangka, inilah pilihannya. masa nya tak sampai setengah jam pun.. anak - anak Che Tie sangat suka puding karamel. Tapi mereka lebih suka yang tidak ditambah roti..





Bahan - bahannya :

6 biji telur ayam
1 tin susu cair
1 tin air ( guna tin susu utk sukat )
3/4 cawan gula
sedikit esen vanila
3 keping roti- dicarik
5 sudu besar gula - untuk dijadikan gula hangus

cara - cara membuatnya:
  1. masukkan gula untuk dijadikan gula hangus dalam loyang.

  2. masak atas api yang sederhana sehingga menjadi gula hangus.

  3. tutup api dan biarkan mengeras dalam loyang

  4. dalam mangkuk yang lain, campurkan semua bahan - bahan lain dgn menggunakan 'mixer' dan kacau hingga sebati

  5. masukkan kedalam loyang yang mengandungi gula hangus yang telah pun keras tadi.

  6. kukus selama 15 minit.

  7. angkat dan terbalikkan puding tadi dalam bekas lain. air gulanya akan berada di atas dan berkilat.



Steambot







Cuti sekolah dah 2 minggu lebih.. Sibuk pulak dengan macam - macam aktiviti, balik kampung, bercuti. Sampaikan takde masa nak update blog ni..Sorry yea. Baru je balik dari bawa anak - anak bercuti.. Rasa macam tak lalu pulak nak makan nasi. Kebetulan hari ni pergi Giant , teringat pulak malam nanti boleh buat steambot. Lepas beli sayur dan seafood ball, balik rumah buat sup untuk steambot.. senang sangat. Ada 2 pilihan samaada nak buat sup biasa atau tomyam. che Tie lebih suka Tomyam sebab rasanya agak masam sikit..






sebelum tu ada petua utk buat sup ni, masukkan sehelai kobis cina utk mendapatkan rasa sup yang enak dan manis.
Bahan - bahan sup:
3 ulas bawang putih
2 batang serai
3 biji cili api (pilihan - utk rasa yg lebih pedas)
perencah tomyam- sepeket kecil (adabi)
1 biji limau nipis
Garam
serbuk perasa
sehelai daun kobis cina
sedikit minyak utk menumis
2 liter air
Cara :
1. ketuk serai dan bawang putih
2.Tumis bawang putih dan serai hingga wangi
3. masukkan air, garam dan sedikit perasa. Tunggu hingga mendidih
4. masukkan kobis cina.
5. perahkan limau nipis dan masukkan juga cili api
masukkan dalam periuk steamboat dan masukkan bahan seperti ( ikut kesukaan )
1. Seafood ball
2. sotong putih
3. udang segar
4. cendawan tiram
5.kobis cina
6. beehoon
7 telur
8. lala

Friday, November 13, 2009

Rumahku Syurgaku



Ramai orang selalu tanya, tak boring ke dok estate ni.. Dipenuhi oleh hutan sawit je.. Alah bisa tegal biasa kan, Shidah. Betul tak?Semalam ada seorang kawan yang dok jauh nun di Leeds tersebut pasal pepatah ni. Walau macam mana sekalipun kita kena redha dgn kehendak dan ketentuan darinya. Che Tie pun seronok sangat duduk di rumah ladang ni. Sangat privacy, dan macam - macam ada di sekeliling rumah.. Tu yang pagi ni selepas hujan Che Tie keluar shoot sekeliling rumah.. Seronoknya tengok buah rambutan yang hampir masak, cempedak dah tua, nanas dah boleh di ambil, banyak pula cili api, kacang botol.. Lengkuas dan serai tu kalau ada sapa- sapa nak , datang aje ambil. Boleh berapa guni tu. Dah macam ladang lengkuas pulak. Itu le yang sayangnya bila nak pindah ke tempat baru pula.

Ini le gambar - gambar yang sempat Che Tie shoot pagi tadi

Muffin Puan Sri



Agak lama Che Tie tak buat muffin .. Asyik buat kek lapis je . Tapi sekarang ni dah lepas raya nak buat benda yang simple aje.Hari ni buka fotopages mamafami@fotopages. jumpa resepi muffin yang simple. Terima kasih Puan Sri kerana sudi berkongsi resepi yang simple dan tak perlu bahan yang banyak pun.. Rasa nya semua bahan tu memang ada kat dapur Che Tie.. Bila dah buat sedap pulak .. Itu anak - anak yang cakap, bukan mama dia tau.. He!he!.. Faezah pulak SMS suruh masukkan resepi muffin dalam blog. Okey, no problem..







MUFFIN PUAN SRI



Bahan- bahannya:

200 gm mentega
160 gm gula kastor
4 biji telur
3 sudu besar tepung kastad
220 gm tepung naik sendiri
1 sudu teh esen vanilla


Cara membuatnya:


1. Ayak tepung naik sendiri dan tepung kastad

2. Dalam bekas yang lain, pukul mentega dan gula hingga berkrim

3. masukkan telur sebiji demi sebiji. masukkan esen vanila.

4.masukkan tepung sedikit demi sedikit.Kacau lagi hingga sebati

5. Sudukan ke dalam cawan muffin (2/3 cawan)

6. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180'c selama 25- 30 minit.

Makaroni Goreng Pedas



hai.. hari ni mood baik betul.. Tengahari tadi masak daging singgang dan sotong goreng.. Alah, kalau masak daging , lama masa untuk menunggu daging empuk.. Sambil tu sempat le buat "bater" untuk muffin.. Hari ni pulak anak - anak semua tak ke sekolah. cuti sebab ada Hari kokurikulum.So, mood bagus le sikit untuk buat muffin sebab rasa mesti dapat sambutan hangat dari depa ni.Satu adunan tu dapat le 16 muffin.. Ingatkan petang ni itu je lah menunya, tapi angin baik pulak Che tie hari ni. teringat pulak ada makaroni yang beli dah 2 minggu waktu pergi ke Giant Batu Caves. Sedap juga kalau masak makaroni hari ni..





Makaroni Goreng Pedas
Bahan - Bahannya:

500 gm makaroni
250 gm daging cincang
1 biji bawang besar holland (kuning) - di dadu
1 biji capsicum - di dadu
2 biji tomato segar - di dadu
3 ulas bawang putih - dicincang
1 tin cendawan butang - dipotong 4
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
3 sudu besar cili kering - dikisar
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup

Cara - cara membuatnya:

  1. Rebus makaroni ikut arahan bungkusannya

  2. Tumis bawang putih hingga naik bau

  3. masukkan bawang besar, masukkan pula cili kering.

  4. Tumis hingga cili betul - betul masak.

  5. Masukkan daging cincang, tambahkan sedikit air.Biarkan seketika

  6. Masukkan pula garam dan gula secukup rasa

  7. Masukkan pula sos cili dan tomato serta cendawan butang, cili capsicum, buah tomato. Kacau seketika.

  8. Masukkan makaroni yang telah direbus tadi. Kacau seketika.
  9. Angkat dan taburkan daun sup






  • Thursday, November 12, 2009

    Gulai Ikan Merah





    haa.. Sedapnya ikan merah. Kena pulak kalau dapat yang lembut isinya.. Che Tie suka beli yang saiznya sedang saja.Macam lagu Iwan dan Amalina pulak. Yang sedang - sedang saja.. Biasanya dalam harga RM 35 - RM 40 seekor. Kalau besar isinya agak keras sikit. Tapi bergantung kepada jenis juga. Kalau ikan merah, Che Tie suka masak gulai kuning. Tapi kalau gulai ikan besar ni mak kat kampung selalu tambah sedikit rempah biji atau ketumbar.. Ini adalah untuk menghilangkan hanyir ikan..
    Gulai Ikan Merah
    Bahan- bahannya:
    1 ekor ikan merah ( beratnya dalam 1 1/2 kilogram)
    2 - 3 keping asam keping
    sebiji kelapa - diambil 6 - 7 cawan santan (ikut citarasa)
    Gula dan garam
    Cili hijau
    Bahan kisar:
    6 ulas bawang merah
    1 ulas bawang putih
    1 inci kunyit hidup
    2 hiris lengkuas
    1 sudu teh ketumbar
    Cara membuatnya;
    1. Bersihkan ikan dan masukkan kedalam periuk
    2. masukkan santan, bahan kisar dan asam keping
    3. masukkan gula dan garam secukup rasa
    4. tunggu hingga mendidih
    5. Akhir sekali, masukkan cili hijau. Biarkan seketika.
    6. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih.

    AYAM PERCIK

    Semalam dapat MC atas sebab tertentu.. Tapi kena la masak, nanti my hubby balik makan tengahari. Boring gak dok rumah kalau tak buat apa -apa.. Teringat pulak pagi tadi Arif bagitau dia nak makan ayam percik. Jadi , lepas sarapan, check kat peti ais ada ke tak ada ayamnya. Nasib baik ada rezeki arif hari ni.. Ayam ada lagi 4 ketul besar bahagian paha. Che Tie pun rendam la sekejap. Sambil tu Che Tie siapkan dulu sulaman tudung bawal tu.. Dah 2 bulan berhenti menjahit ni. Jadi ni dah agak 'free' sikit, boleh la sambung hobi.. okeylah, kita sambung resepi kita, kalau nak celoteh pasal tudung bawal karang tak masak pulak kita hari ni kan.





    Ayam percik
    Bahan- bahan :

    1 ekor ayam - belah 4 (perap dgn halia, bawang putih dan sedikit garam)
    secawan santan

    - Rebus ayam dengan santan sehingga santan kering. Ini adalah supaya isi ayam masak sepenuhnya.


    Bahan kuah:

    6 ulas bawang merah
    1 ulas bawang putih
    7 biji cili kering (boleh kurangkan sekiranya tak nak pedas)
    2 batang serai - dititik
    sedikit asam jawa
    Garam dan gula secukup rasa
    4 cawan santan pekat

    Cara membuat kuahnya:

    1. Kisar bawang dan cili kering, masukkan ke dalam kuali
    2. masukkan santan pekat, serai, asam jawa , garam dan gula secukup rasa.
    3. masak sehingga pekat.


    Cara membakar Ayam
    1. Ayam yang telah direbus tadi di susun dalam oven
    2. Tetapkan suhu 190'c
    3. Bakar ayam seketika
    4. Tuang kuah diatasnya hingga agak kering
    5. Balikkan ayam tadi dan tuang lagi kuah percik diatasnya.
    6. ulang langkah diatas sebanyak 2 kali.
    7. Kuah yang selebihnya di simpan untuk di tuang di atas ayam apabila menghidang
























    Gulai Darat Ayam

    Kalau dah namanya oghe Kelate, tak sah kalau tak pekena gulai darat.. Di Sana memang ada rempah khas yang di namakan gulai darat.ala- ala rempah kari, tapi rasanya memang lain.. dan
    tak pedas.. anak - anak Che Tie suka sangat kalau ada lauk gulai darat.Tak kira lah ayam atau daging..Tapi kalau tak pakai rempah ni pun tak pe. Boleh pakai rempah gulai ADABI.Cuma kena tambah beberapa rempah ratus seperti di bawah










    Ayam Gulai Darat




    Bahannya:

    1 ekor ayam - dipotong 12(ikut citarasa)

    2 sudu besar rempah gulai darat

    sebiji kelapa - diambil 6 cawan santan (boleh dilebihkan sekiranya agak pekat)

    4 biji ubi kentang- dibelah 2

    sedikit asam jawa

    1 sudu makan kerisik

    garam dan gula secukup rasa


    Bahan kisar

    6 ulas bawang merah

    1 ulas bawang putih

    1 inci halia

    2 hiris lengkuas

    1/2 sudu besar ketumbar

    1/2 inci kunyit hidup

    Cara membuatnya;


    • ayam di bersihkan dan masukkan ke dalam periuk.
    • bahan kisar dicampurkan dengan rempah gulai darat, masukkan kedalam periuk.


    • gaulkan ayam sehingga sebati dan masukkan juga secawan santan.


    • masukkan garam, asam jawa dan gula


    • Tutup periuk dan masak ayam tadi sehingga agak kering santannya.Kacau sekali - sekala.


    • Apabila telah hampir kering santannya, masukkan semua santan selebihnya dan ubi kentang


    • tambahkan garam dan gula secukup rasa dan akhir sekali masukkan kerisik


    • Apabila ubi kentang telah empuk, bolehlah ditutup apinya.


    • sesuai dimakan bersama nasi atau roti.

    Nota: apabila memasak ayam , kita masukkan terus garam, gula dan asam jawa. Ini adalah utk mengelakkan isi ayam daripada hancur. Tapi untuk daging kita kena tunggu sehingga daging empuk terlebih dahulu , kemudian baru kita masukkan garam, gula dan asam.

    Tuesday, November 10, 2009

    Sotong masak halia cili kering



    Sotong... menu anak- anak.. Kalau masak sambal ada yang merungut pedas, jadi salah satunya che tie suka masak sotong dried chili halia ni..
    SOTONG DRIED CHILI
    Bahannya:
    1/2 kg sotong
    5 biji cili kering - dipotong 2
    3 ulas bawang putih - diketuk
    1 labu bawang besar-dibelah 6
    2 inci halia- dimayang
    2 biji cili merah
    2 sudu besar kicap manis kipas udang
    daun sup
    cara membuatnya:
    • masukkan sedikit minyak dan goreng cili kering seketika. Angkat dan ketepikan
    • tumis bawang putih, halia dan bawang besar. Kacau hingga naik bau
    • masukkan sotong.Biarkan hingga agak kering
    • masukkan cili kering tadi, kicap,dan cili merah
    • biarkan seketika. sehingga agak pekat Kalau perlu tambahkan sedikit garam
    • angkat dan taburkan dgn daun sup

    Udang sweet sour

    Sejak che tie duduk kat Bagan Datoh ni, selalu je beli udang besar ni,, asal pergi pasar je, tauke ikan tu mesti panggil dan tanya nak beli udang tak.. udangnya besar dan fresh... alahai tak boleh nak tolak


    Jadi hari ni nak masukkan resepi udang sweet sour .. Boleh di makan dengan nasi putih atau nasi beriani.
    Udang sweet sour
    Bahan- bahan:
    10 ekor udang besar-letak garam dan kunyit dan goreng hingga masak.
    2 ulas bawang putih
    3 ulas bawang merah
    1/2 inci halia
    3 sudu besar sos tomato
    2 sudu besar sos cili
    garam dan gula secukup rasa
    1 biji buah tomato - dibelah 6
    2 biji cili merah-dibelah 2
    1 labu bawang besar
    daun bawang- utk hiasan
    1/2 cawan air
    cara membuatnya:
    - tumbuk halus bawang putih, bawang merah dan halia
    - tumis bahan diatas hingga naik bau
    - masukkan setengah cawan air
    - masukkan sos tomato, sos cili, garam dan gula,
    -masukkan tomato buah
    - biarkan seketika hingga pekat.
    - masukkan cili merah, bawang besar dan udang yang telah di goreng tadi
    -gaul didalam kuali dan angkat
    - taburkan daun bawang.

    Thursday, November 5, 2009

    MEE UDANG SPECIAL




    Bulan oktober, che tie kena pergi kursus di Taiping 2 kali.. Bila dah kat Taiping tu ada kawan ajak pergi makan mee udang kat Kuala Sepetang. Lagipun ini kali pertama sampai di Taiping. Jadi, ambil peluang jalan- jalan cari makan. Jadi kami geng perempuan pun meronda pusing bandar... Ada kawan tu ajak singgah kat Kuala Sepetang untuk cuba mee udang yang famous satu Malaya tu.. Kami pun singgah le makan kat situ. Harganya RM 11 sepinggan.. Pada che tie harga tidak menjadi masalah asalkan sedap dan puas hati.. Tapi bila makan mula le komplen... sedap lagi mee udang aku masak.. (perasan le tu) he!he!.. takde yang istimewanya , cuma sebab masuk TV. Kebersihan pun kurang.. yang jadi sedap sebab udang nya byk.. itu aje tapi bab kuah, biasa aje..




    Semalam ada kawan kat sekolah tanya resepi mee udang, pastu janji dgn dia esok pagi che tie masak kuah dan Faezah bawa mee dan bahan - bahan lain.. kalau sedap boleh le salin resepi..Jadi sekarang ni ramai pulak yang minta resepi, jadi che tie berani le nak masukkan dalam blog ni..Puan Tan ambil sedikit kuah untuk dibawa balik sebab nak suruh kakak nya rasa.. macam - macam diaorang ni..


    Mee Udang special
    Bahan Kuah
    500 gram udang (saiz ikut citarasa- che tie suka guna udang RM 35 sekilo)
    8 ulas bawang merah
    2 ulas bawang putih
    10 - 15 biji cili kering
    1 sudu kecil udang kering
    1 tin kacang panggang yeos
    2 biji buah tomato
    garam dan gula secukup rasa
    1 liter air
    Cara:
    - kisar bawang ,cili kering dan udang kering
    - tumis hingga naik bau
    -kisar kacang panggang yeos dan masukkan ke dalam periuk bersama air
    - tunggu hingga mendidih
    -masukkan garam dan gula secukup rasa.
    - masukkan udang dan buah tomato
    -biarkan seketika dan tutup api
    - hidangkan bersama mee kuning dan hiasan lain seperti di bawah
    Nota: mee udang lebih sedap dengan rasanya yang manis sedikit.
    Bahan lain
    500 gm mee kuning - dicelur seketika
    daun bawang
    Bawang goreng
    Cili merah- dihiris nipis